Ramai ambil mudah klausa tempoh terkunci dalam perjanjian pinjaman perumahan ditandatangani. Sedangkan, ia penting.
Ia sesuatu yang perlu diutamakan ketika memilih pinjaman perumahan yang bersesuaian dengan kedudukan kewangan.
Tempoh terkunci bermaksud jika anda ingin menamatkan pinjaman rumah lebih awal daripada persetujuan sebelum ini, bayaran denda akan dikenakan
Jika mahu lunaskan sepenuhnya, pembiayaan semula pinjaman atau menjual hartanah, tempoh terkunci boleh jadi penghalang
Bakal pembeli perlu memahami dengan jelas akan terma dan syarat klausa tempoh terkunci sebelum menandatangani perjanjian pinjaman pembelian rumah.
Ini kerana, jika peminjam menarik diri daripada perjanjian sebelum tempoh yang ditetapkan berakhir, denda dalam jumlah tertentu perlu dibayar kepada pihak bank.
Tempoh terkunci bermula dari hari bank keluarkan bayaran pinjaman pertama mengikut perjanjian pinjaman.
Bagaimanapun, jangka masa tepat tempoh terkunci adalah berbeza antara pinjaman perumahan bergantung kepada terma yang ditetapkan oleh pemberi pinjaman.
Biasanya, tempohnya adalah sekitar dua hingga lima tahun dan bayaran denda juga berbeza peratusannya.
Apapun, jika anda mendapat pelbagai tawaran pinjaman perumahan, pastikan anda meneliti kadar faedah, terma syarat serta tempoh terkunci yang ditetapkan.
Pilihlah tempoh kunci yang paling singkat masanya serta kadar faedah terendah.