Kuala Lumpur: RHB Investment Bank Bhd menjangkakan jualan hartanah akan meningkat 10 peratus tahun ini, dengan sebahagian pemaju berkemungkinan menumpukan kepada pelancaran rumah bertingkat tinggi harga pertengahan bagi memulihara simpanan tanah dan menangani isu kemampuan pembeli.
Penganalisisnya, Loong Kok Wen berkata, sebahagian lagi pemaju teruskan strategi sedia ada, dengan tawaran produk komersial dan perindustrian.
"Kami percaya permintaan keseluruhan hartanah pada tahun ini kekal memberangsangkan, disokong oleh pertumbuhan ekonomi dan pelaburan langsung asing (FDI) yang menggalakkan. Iskandar Malaysia akan terus menjadi pilihan dan bakal menyaksikan lebih banyak pelancaran pada tahun ini.
"Walaupun pasaran menyaksikan permintaan kukuh pada tahun lalu, kami merasakan pembelian asing belum berlaku pada skala yang besar, memandangkan titik harga produk yang dilancarkan sepanjang satu hingga dua tahun lalu kebanyakannya di bawah paras RM1 juta," katanya dalam satu nota penyelidikan, semalam.
Beliau berkata, jualan hartanah secara agregat dalam sembilan bulan pertama tahun lalu hampir menyamai tempoh sama tahun sebelumnya, membayangkan momentum jualan kukuh sejak 2023 berjaya dipertahankan setakat ini.
"Satu lagi trend utama yang kami perhatikan adalah ada pemaju besar mula mencatatkan jualan lebih tinggi daripada segmen perindustrian. Sebagai contoh, jualan hartanah perindustrian merangkumi 32 peratus jualan Sime Darby Property Bhd (kebanyakannya daripada penjualan unit kilang) dan 27 peratus jualan Eco World Development Group (separuh daripada penjualan tanah kepada pusat data)," katanya.
Kok Wen berkata, peluang mengumpul aset timbul apabila sektor perindustrian rancak berkembang memandangkan rantau Asia Tenggara masih lagi berada pada kedudukan baik untuk perdagangan dunia dan mungkin akan meraih kenaikan pelaburan langsung asing sebagai manfaat daripada penyimpangan perdagangan selepas Donald Trump diangkat sebagai presiden baharu Amerika Syarikat (AS) bulan ini.
Sehubungan itu, katanya, pemaju yang terdedah kepada pembangunan perindustrian akan terus mendapat manfaat.
Menurutnya, selain urus niaga tanah dan pembangunan hartanah perindustrian, permintaan dalam bidang ini juga mungkin membuka peluang strategik buat pemaju untuk mengumpul aset-aset hartanah perindustrian dalam jangka sederhana.