
Setiap hartanah baharu yang dibeli tentunya akan ada kecacatan sama ada kecil atau besar.
Pembeli jangan ambil mudah jika berlaku masalah sedemikian pada hartanah mereka kerana anda mempunyai hak meminta pemaju membaiki kecacatan itu tanpa sebarang caj.
Ini kerana pembeli mempunyai tempoh liabiliti kecacatan yang diperoleh selepas mendapat kunci rumah dalam tempoh dua tahun.
Beberapa langkah perlu dilakukan jika mendapati ada kecacatan di rumah baharu.
1. Menyenaraikan kecacatan dan mengambil gambar
Ini penting kerana sebagai bukti kecacatan yang berlaku. Selain itu, memudahkan pemaju mengambil tindakan untuk membaiki kecacatan berkenaan.
2. Memastikan pemaju menerima senarai kecacatan
Maklumat ini dihantar menerusi pos berdaftar, e-mel atau serahan tangan berserta perakuan penerimaan.
3. Pembeli menyemak senarai kecacatan dengan pemaju
Sekiranya pemaju memberikan maklum balas terhadap penerimaan notis, maka kerja pembetulan dilakukan dalam tempoh 30 hari.
Mereka boleh berbincang mengenai jadual kerja pembaikan supaya kecacatan ini dapat dibetulkan mengikut tempoh ditetapkan.
4. Beri notis kedua
Tindakan ini dilakukan jika pemaju tidak memberikan maklum balas terhadap notis diberikan.
Selain itu, dapatkan sebut harga terperinci daripada kontraktor bebas bagi mendapatkan anggaran kos pembaikan kecacatan.
Pemaju diberikan tempoh tangguh selama 30 hari untuk melakukan kerja berkenaan.
Alatan diperlukan untuk memeriksa kecacatan rumah:
1. Pita pelekat
Pita ini mempunyai gam lebih kuat dan tidak mudah tercabut dan basah.
2. Lampu suluh
Cahaya lampu ini membantu melihat kesan kecacatan yang mungkin tidak jelas pada mata kasar.
3. Kamera atau telefon bimbit
Mengambil gambar bahagian rumah yang mengalami kecacatan sebagai rujukan masa depan.