Geran tanah merujuk kepada dokumen rasmi yang dikeluarkan pejabat pendaftar tanah.
Ia adalah bukti pemilikan hak ke atas sebidang tanah. Geran biasanya menyenaraikan maklumat seperti lokasi, saiz dan jenis hak milik tanah.
Bagaimanapun, kepentingan geran tanah tidak boleh dipandang ringan kerana ia melindungi hak pemilik dan memastikan bahawa tiada pihak lain yang boleh menuntut hak ke atas tanah itu tanpa kebenaran.
Tanpa geran sah, pemilik mungkin menghadapi masalah undang-undang di masa depan termasuk risiko kehilangan hak milik.
Hakikatnya, pemilikan tanah di Malaysia adalah berdasarkan Sistem Torrens (Torrens System Land Title registration).
Malah pemilikan menandakan hak milik yang sah kepada seseorang yang menjadi pemilik kepada sebidang tanah atau rumah di bawah Kanun Tanah Negara/National Land Code 1965.
Kriteria yang penting bagi sistem ini adalah apabila tanah yang diberi milik di negara ini akan mendapat geran tanah terbabit.
Bermakna tiada sesiapa yang dapat mencabar pemilikan tanah apabila geran tanah itu sudah didaftarkan atas nama mana-mana individu atau entiti.
Dengan kata lain, geran tanah atau rumah berfungsi sebagai dokumen rasmi yang membuktikan hak milik seseorang terhadap hartanah.
Pemilik yang tertera dalam geran adalah pemilik sah tanah atau rumah itu dan melindungi mereka daripada sebarang tuntutan pihak ketiga.
Anda sebagai pembeli dikatakan memiliki hak di sisi undang-undang atas tanah/rumah itu apabila geran tanah sudah didaftarkan ke atas nama anda dan dokumen hak milik itu sudah dikeluarkan.
Ia terbahagi dua iaitu hak milik individu dan hak milik strata.
Bagi pemilikan hartanah status pegangan bebas (freehold) dalam geran tanah bermakna pembeli tidak terikat kepada tempoh pemilikan yang terhad.
Ia adalah pemilikan kekal atau tiada had masa selagi pemilik membayar cukai tanah kepada pihak berkuasa tempatan.
Sementara status geran tanah yang tertulis 'hak milik pegangan pajakan' pula bermaksud pemilik mempunyai had masa maksimum hingga 99 tahun tempoh pemilikan dari tarikh yang tertera dalam geran tanah.
Apabila tempoh pegangan pajakan (leasehold) seperti yang dinyatakan dalam geran tanah berakhir, tanah itu akan dikembalikan kepada kerajaan kecuali permohonan pembaharuan pajakan diluluskan.