SANGGUPKAH anda mengambil risiko membuat pinjaman rumah bersama dengan orang tersayang?
Tidak kira bersama pasangan, ahli keluarga atau yang tiada pertalian darah, anda seharusnya tahu kelebihan dan kekurangan di sebalik membuat pinjaman bersama.
Kadar pendapatan isi rumah yang rendah dan tidak selari dengan median harga rumah menyebabkan pinjaman bersama dilihat sebagai alternatif paling logik untuk pasangan suami isteri memiliki rumah impian.
Kelebihan
Gabungan dua sumber pendapatan berbeza akan diambil kira dalam permohonan pinjaman rumah bersama.
Ini kerana semua bank mempunyai had jumlah pinjaman yang boleh diberikan, kebiasaannya bergantung kepada pendapatan dan komitmen bulanan peminjam.
Untuk itu, jika membuat permohonan bersama, ia secara tidak langsung akan menaikkan kelayakan had pinjaman yang ingin dipohon.
Pada masa sama, peluang pinjaman diluluskan juga meningkat kerana jumlah pendapatan bersama lebih tinggi berbanding syarat pendapatan yang ditetapkan pihak bank.
Proses pinjaman akan menjadi lebih mudah sekiranya anda dan pasangan mempunyai rekod skor kredit yang bagus.
Membayar semua bil tepat pada masanya juga adalah satu kelebihan kerana ia akan meningkatkan keyakinan bank sebagai pemberi pinjaman memandangkan anda mempunyai rekod pembayaran yang baik.
Selain itu, jika membuat pinjaman bersama, anda juga boleh berkongsi beban kewangan yang berkaitan.
Ini kerana pembelian hartanah sememangnya memerlukan banyak kos sampingan lain seperti bayaran kos guaman, cukai, bayaran pendahuluan dan pelbagai jenis yuran lain secara bersama.
Kelemahan
Pemeriksaan kredit (CCRIS atau CTOS) adalah penting untuk semua permohonan pinjaman termasuk pembelian rumah.
Sekiranya pemohon bersama anda mempunyai rekod CCRIS yang lemah, ia sedikit sebanyak akan menjejaskan peluang mendapat kelulusan untuk pinjaman bersama walaupun anda mempunyai rekod baik.
Jadi sebelum mengambil keputusan membuat pinjaman bersama, pastikan masing-masing memiliki rekod kredit yang baik.
Selain itu, antara kekurangan lain membuat pinjaman bersama adalah akses kepada inisiatif pembelian rumah kali pertama.
Ini kerana terdapat beberapa inisiatif yang diberikan kerajaan bagi membantu pembeli membeli rumah pertama.
Jika anda memohon pinjaman bersama untuk pembelian rumah ada kemungkinan tidak dapat menikmati inisiatif berkenaan.
Insentif kewangan lain yang perlu dipertimbangkan ialah pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT), yang dikenakan ke atas keuntungan diperoleh daripada penjualan hartanah di negara ini.
Ketika ini, ia ditetapkan pada nilai lebih daripada RM200,000 dan warganegara Malaysia ditawarkan pengecualian sekali seumur hidup daripada cukai berkenaan.
Jadi, sekiranya anda yang juga salah seorang pemilik rumah bersama, anda atau pasangan boleh kehilangan manfaat ganjaran itu seandainya rumah berkenaan dijual.
Risiko lain
Isu akan berlaku apabila pasangan yang membuat pinjaman bersama berdepan dengan kematian atau perpisahan.
Jika ingin dijual, ia memerlukan persetujuan kedua-dua pihak penama.
Selagi persetujuan kedua-dua pihak tidak dicapai, rumah berkenaan tidak boleh dijual dan dipindah milik kepada orang lain.
Dalam hal ini, anda memerlukan khidmat bantuan guaman kerana proses penukaran hak milik untuk pasangan Muslim dan bukan Muslim juga berbeza, kerana mengikut kepada bidang kuasa mahkamah.
Namun kebiasaannya mahkamah akan merujuk kepada terma perjanjian (syarat institusi pembiayaan) dan juga faktor lain yang memerlukan persetujuan kedua-dua penama (kes perceraian).
Jadi, sebelum mengambil keputusan membuat pinjaman secara bersama, pastikan anda mengambil kira semua kelebihan, kekurangan dan risiko lain yang ada.
Pinjaman pembiayaan perumahan adalah satu komitmen besar dalam jangka masa yang panjang, ia perlu dilakukan seteliti yang boleh.