
SELAIN harga dan lokasi, aspek rekaan juga menjadi faktor utama yang menjadi tarikan untuk pembelian rumah impian.
Bagi pasangan, Nurafifah Yacob, 33, dan Muhammad Faiq Junaidi, 34, ini keselesaan di hari tua menjadi faktor mengapa mereka memilih rumah teres setingkat berbanding teres dua tingkat yang perlu 'turun naik.'
Nurafifah yang juga suri rumah berkata, selama ini mereka menyewa di kuarters 13 tahun sebelum membuat keputusan membeli rumah pertama pada 2020.
Katanya, rumah yang terletak di Taman Impian Mesra Rim, Jasin, Melaka itu dibeli suaminya pada harga RM190,000 dan siap dibina tiga tahun kemudian.
"Proses membeli rumah ini agak mudah kerana kami tidak dikenakan bayaran deposit melainkan hanya perlu membayar yuran guaman.
"Selain itu, proses mendapatkan pinjaman juga hanya mengambil masa kira-kira tiga bulan.
"Alhamdulillah, berkat rezeki anak-anak, urusan pembelian rumah ini dipermudahkan," katanya.
Menurut Nurafifah, membeli rumah pertama adalah komitmen besar untuk mereka suami isteri, jadi semua faktor perlu diambil kira dengan teliti.
"Perumahan berkenaan menjadi pilihan kerana ia terletak di kawasan yang matang dan dekat dengan pelbagai kemudahan.
"Selain itu, ia juga tidak jauh dari tempat kerja suami iaitu kira-kira 40 minit pemanduan dan lebih penting, dekat juga dengan kawasan perkuburan anak kami," katanya.
Tambah ibu empat cahaya mata itu lagi, dia dan suami turut tertarik dengan keluasan binaan rumah itu yang turut mempunyai lebihan tanah luas di kawasan belakang.
Katanya, keluarganya kini dalam proses berpindah dan jika tiada aral, mereka memasuki rumah baharu itu pada tahun ini.
"Sebaik mendapat kunci bulan lalu, kami membuat penilaian kerosakan terlebih dahulu sebelum memasang jeriji keselamatan.
"Kemudian baru melakukan pengubahsuaian terutama di dapur.
"Ruang dapur penting untuk wanita dan ia juga adalah ruang utama bagi keluarga berkumpul selain ruang tamu," katanya.
Kata Nurafifah, semua anak-anak teruja dan tidak sabar memasuki rumah baharu mereka.
Dia juga sudah mula mencari idea menghias rumah berkenaan bagi keselesaan keluarga.
"Saya suka menghias rumah dan sebenarnya sudah ada beberapa idea dekorasi.
"Antara yang bermain di fikiran adalah tema kelabu hitam.
"Memang tidak sabar dan harapan kami semoga semua urusan berjalan lancar bagi membolehkan kami memasuki rumah itu tahun ini," katanya.