PETALING JAYA: Cadangan melonggarkan syarat persetujuan serendah 75 peratus bagi pembangunan semula hartanah strata menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) adalah sesuatu yang positif kepada pembangunan negara, kata Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA).
Presidennya, Datuk Ir Ho Hon Sang, berkata undang-undang sebelum ini menetapkan keperluan persetujuan 100 peratus pemilik, namun syor baharu itu mencadangkan pengurangan kepada 75 atau 80 peratus untuk memudahkan proses pembangunan semula.
Beliau berkata, langkah itu amat diperlukan kerana banyak bangunan strata, khususnya di bandar utama seperti Lembah Klang sudah uzur dan tidak lagi selamat untuk didiami.
Malah, katanya, keadaan berkenaan bukan sahaja menjejaskan kualiti hidup penghuni, tetapi juga meningkatkan risiko keselamatan akibat masalah infrastruktur yang semakin meruncing.
"Banyak bangunan lama mengalami pelbagai isu serius, antaranya sistem pembetungan rosak, pendawaian elektrik uzur yang boleh menimbulkan risiko kebakaran, lif yang sering rosak dan kebanyakan bangunan lama tidak mempunyai dana mencukupi untuk penyelenggaraan besar-besaran.
"Dalam konteks ini, pembangunan semula dianggap sebagai penyelesaian terbaik untuk memastikan penghuni mendapat persekitaran yang lebih selamat dan moden," katanya pada sidang media pengumuman Tinjauan Sentimen Industri Hartanah REHDA (PSS) separuh kedua 2024 di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Presiden REHDA, Datuk Zaini Yusoff dan Mantan Presiden REHDA, Datuk N K Tong.
Hon Sang berkata, peranan pemaju dalam pembangunan semula lebih bersifat reaktif dan keputusan untuk membangunkan semula sesebuah bangunan perlu dimulakan oleh pemilik strata, Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC).
"Salah satu kebimbangan utama pemilik rumah ialah kemampuan untuk membeli semula unit baharu selepas pembangunan semula dilakukan dan kami percaya bahawa kerajaan akan menyediakan rangka kerja undang-undang yang sesuai bagi menangani isu ini," katanya.
Beliau berkata, dari segi gentrifikasi, pemilik rumah sebenarnya mempunyai peluang untuk mendapatkan pampasan berdasarkan nilai masa depan hartanah mereka.
"Namun, jika mereka tidak mahu berpindah, mereka boleh memilih untuk tidak menyokong pembangunan semula dan dengan cadangan kadar persetujuan 80 peratus, keputusan terbabit masih bergantung kepada majoriti pemilik strata," katanya.
Dari perspektif teknikal pula, Hon Sang berkata, membina semula bangunan lama lebih praktikal berbanding melakukan pembaikan besar kerana struktur bangunan yang berusia lebih 50 tahun sering mengalami masalah seperti konkrit mereput dan besi terdedah, menjejaskan keselamatan penghuni untuk tempoh jangka panjang.
"REHDA melihat RUU URA sebagai langkah penting dalam memastikan kesejahteraan penghuni bangunan strata yang uzur, biarpun terdapat cabaran dari segi persetujuan pemilik dan kebimbangan mengenai harga unit baharu.
"Langkah ini adalah keperluan yang tidak boleh dielakkan demi keselamatan dan pembangunan bandar yang lebih mampan," katanya.